love forever

Khamis, 22 Januari 2009

Tentang Diriku

Aku diberi nama Nurzazarina oleh ayahku. Dalam kalangan keluarga aku dipanggil Jaja. Kawan-kawanku pula panggil aku dengan gelaran Zaza, ada yang memanggil Za sahaja dan kawan baikku Nuzul Alyana satu-satunya memanggil aku Jajan. Aku dilahirkan di rumah pada tarikh 2 Julai 1986. Aku merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Aku mempunyai seorang abang dan juga seorang kakak. Kakak dan abangku sudah berkahwin cuma tinggal aku seorang sahaja masih belum bertemu jodoh. Aku ni sebenanrnya boleh la dikatakan sebagai seorang yang jiwang. Aku suka sangat membaca novel cinta. Antara novel-novel yang telah membuatkan aku menangis adalah Gemersik Kalbu, Bicara Hati, Ombak Rindu, Pergilah Sepi, Sehangat Asmara dan Sepi Tanpa Cinta. Sekarang aku giat untuk mengumpul novel walaupun aku terpaksa berhabis duit. Antara penulis novel yang aku minati dan kagumi seperti Damya Hanna, Aisyah Sofea, Anis Ayuni dan Norhayati Berahim. Aku mula membaca novel setelah aku menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM). Melalui pembacaan novel-novel cinta, aku mendapat banyak pengajaran tentang cinta dan yang lebih penting adalah aku dapat mengetahui hakikat kehidupan tentang cinta walaupun ianya hanya fantasi tapi tidak mustahil ianya mungkin terjadi pada kehidupan manusia pada hari ini.
Selain daripada meminati membaca novel, aku juga sangat menggemari menonton cerita-cerita Melayu terutamanya menonton cerekarama. Banyak kisah-kisah kehidupan masyarakat Melayu yang boleh dijadikan iktibar dan panduan oleh diriku sendiri. Antara tajuk cerekarama yang menggamit persaan aku ialah Miftahul Jamilah, dan Cinta Si Penggali Kubur. Terus terang aku sebenarnya mudah tersentuh dan senang untuk mengalirkan air mata apabila menonton cerita-cerita yang sedih dan menggamit perasaan. Air mataku mudah gugur membasahi pipiku walaupun aku telah sedaya upaya menahannya. Aku akan merasakan tekanan di bahagian kerongkongku apabila melihat adegan-adegan yang menyedihkan dan yang menyakitkan hati.
Mengenai cita-citaku pula, sejak di bangku sekolah aku bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Aku melihat profesion perguruan itu sangat mulia. Bagi ku, tugas guru bukan hanya sekadar mengajar murid-muridnya di sekolah tetapi apa yang lebih penting adalah guru sebagai pendidik untuk mendidik anak-anak muridnya menjadi insan yang berguna kepada diri, masyarakat, bangsa dan negara. Cita-citaku untuk menjadi guru mungkin akan terlaksana pada tahun hadapan apabila aku tamat pengajian Ijazah Pertamaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong malim Perak. Apa yang istimewanya tentang Bidang Pendidikan adalah ilmu sentiasa dicari kerana dunia pendidikan berkembang maju seiring dengan bidang-bidang lain. Aku juga bercita-cita untuk menyambung pengajian ku ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Ijazah Sarjana dan Kedoktoran. Mudah-mudahan impianku terlaksana dan tercapai sebelum umurku mencapai 35 tahun. Aminnnn.....
Aku sangat menggemari masakan Melayu terutamanya masak lemak cili api. Antara masakan yang boleh membuatkan aku terliur adalah ketam masak lemak cili api dan ikan keli masak sambal lada api. Amat menyelerakan sekiranya masakan itu dihidangkan di hadapanku. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan tanpa apa-apa pantang dan ini membolehkan aku memakan apa sahaja yang aku mahu. Aku merupakan penggemar makanan laut seperti ketam, udang, sotong, kerang, lala dan lain-lain lagi. Aku sememangnya mempunyai selera yang sangat tinggi dengan masakan Melayu tetapi kurang meminati Western Food. Mungkin aku telah dididik dengan masakan Melayu sejak dari kecil dan ayah dan ibuku jarang mengajar aku memakan makanan barat. Aku berharap suatu hari nanti aku ditemukan jodoh dengan seorang lelaki yang pandai memasak masakan Melayu.
Aku juga mempunyai motto hidup iaitu “Kejayaan lepas bukan tercipta untuk kejayaan hari ini dan kejayaan hari ini bukan tercipta untuk kejayaan hari esok”. Sehingga hari ini aku masih berpegang kepada motto tersebut. Aku pernah melalui kegagalan suatu waktu dulu, betapa peritnya menerima kegagalan tersebut dan apabila aku mula menghampiri kejayaan, aku tidak mahu leka dengan kejayaan yang belum pasti itu. Oleh itu aku sentiasa berhati-hati dan sedar bahawa kejayaan bukan selamanya milik insan yang bergelar manusia.

Ayat-Ayat Cinta