love forever

Khamis, 12 Februari 2009

Takut Bercampur Sedih

Huh...terkejut aku bila diberitahu bahawa aku dapat penyelia penyelidikan di bawah cik Amy, perasaan takut dan sedih menyelubungi aku waktu tu...mana tidaknya tergambar dipikiranku yang cik Amy seorang yang rigid dan strait..matilah aku kali ni... apa boleh buat, aku terpaksa redha..terima hakikat dan kenyataan..aku berharap cik Amy dapat memberikan kerjasama yg baik..Mudah-mudahan...amin

Isnin, 9 Februari 2009

Pengalaman mengikuti BAKTI SISWA di Kuantan

Dapat Keluarga Angkat Baru
Cuti hari raya Cina yang lepas terpaksa aku korbankan semata-mata ingin mencari pengalaman mengikuti Bakti Siswa di Kuantan, Pahang. Mulanya, aku macam berat hati nak mengikuti program tu, tapi rasa kesian pada Niza yang menebal menyebabkan aku macam terpaksa joint program tu. So, pada hari bertolak ke sana, aku pon bersiap-siap la mengemaskan barang-barang dan pakaian. Nak kata seronok macam tak seronok je, mana taknya orang lain sebuk mengemas barang nak balik kampung, yang aku pulak sebuk-sebuk kemas barang nak g Bakti Siawa. Tapi yang penting Nadia, Farah dan Fatin pon joint gak program tu, so ada la kawan-kawan. Takut jugak aku kalau Nadia dan fatin tak joint program tu, maklumla dieorang tu kena mintak izin kat buah hati masing-masing. Macam suami isteri plak nak mintak-mintak izin. Adoyai...Aku???Aku biasa la nak mintak izin dari saper??? So, aku mintak la izin dari mak aku. Ok per????


Hmmm..tapi yang paling bestnya aku dan Fatin dapat mak dan ayah angkat yang sporting. Muda lak tu. Mak angkat aku tu umurnya 31 tahun dan ayah angkat umurnya 39 tahun. Tapi kitorang panggil gelaran mak dan ayah jugak la. Dia ada dua orang anak, sorang umur 10 tahun dan sorang lagi 6 tahun. Apa yang paling best, family angkat aku ni pandai memasak dan merupakan pembekal buat kueh muih. So tiap-tiap pagi mesti mak n ayah aku ni akan wat kueh n hantar kat mana tah, lupa plak aku apa nama tempat eh. Sepanjang 6 hari berada kat sana, aku n Fatin dihidangkan dengan makanan yang lazat-lazat. Adoyai boleh jadi gumuk aku, tapi aku tak kisah, makan banyak mana pon aku tetap maintain kurus tak macam si Fatin tu, aku tengok dia makin gumuk hahahahahha. Maaf la yer...hihihi.Sepanjang dok ngan family angkat aku tak penah plak menolong mak aku tu masak, maklumla buzy dengan program. Asal balik jer, nasi n lauk pauk dah dihidangkan atas meja. So, aku pon apa lagi, makan la sepuasnya. Tambah pulak aku ni tak der pantang apa-apa makanan, so makan je la. Paling best sekali family angkat aku ni bawa aku g jalan-jalan kat bandar kuantan waktu malam.

Huh..seronok sangat-sangat. Makan pulak berhadapan dengan laut. Ada satu hari tu, family angkat aku tu bawak aku pergi ke rumah kawan dia kat Tanjung Lumpur. Sedih tol bila tengok rumah-rumah di situ. Kebanyakan mereka adalah nelayan. Tahap kemiskinan di situ boleh dikatakan tinggi jugakla, tapi apa yang aku RESPECT, keluarga tu aku tengok ceria n bahagia jer. Anak-anaknya pandai-pandai belaka. Kesimpulannya, dengan ziarahnya aku kat rumah kawan mak angkat aku tu, aku dapat banyak input dan pengalaman yang paling berguna sekali.
Hari terakhir aku kat sana agak menyedihkan jugak la, mana tak nya adik-adik angkat aku tu macam sedih je aku tengok. Sebelum ni, aku selalu main dengan dieorang, main bola beracun, main buaian, n main puzzle. Sebelum berangkat balik tu, aku sempat la memenuhi permintaan adik angkat aku tu, dia ajak aku main bola beracun kul 1 tgh hari, so aku tak nak kecewakan dieorang, aku pon main la, seronok betul aku tengok dieorag. Yang penting dieorang gembira. Terus terang aku pon sedih sangat-sangat. Memang sedih. Tapi apa boleh buat, perpisahan tercipta jua akhirnya.


Selasa, 3 Februari 2009

Menyintai tidak bermakna memiliki

Janganlah engkau melaungkan…
Si dia kepunyaanmu…
Atau kau kepunyaan si dia..
Kerana hakikatnya…
Kita tidak pernah memiliki sesiapa…
Walau sekeping hati seorang insan...
Tidakkah kau sedar...
Hukum alam menyatakan...
Menyintai tidak semestinya memiliki...

Manusia pandai berpura...
Berlakun dipentas dunia...
Dan bertopeng menutup rahsia...
Tetap dihati...
Tidak pernah berdusta pada empunya...
Tentang perasaan yang bergolak di dalamnya...
Tidakkah kau sedar...
Mungkin si dia melafazkan...
Ungkapan cinta padamu...
Tetapi hati dan perasaan...
Tidak pernah berniat begitu...
Dia hanya berselindung...
Disebalik sejuta alasan dan kau...
Begitu jujur dan setia menyintainya...
Sehingga terlupa...
Hukum alam menyatakan...
Menyintai tidak bermakna memiliki...

Sesungguhnya...
” Aku tidak pernah memiliki dirimu...”
” dan kau juga tidak pernah memiliki diriku...”
Mengertilah...
Kita sebenarnya kepunyaan...
Yang maha esa...
Tiada siapa berhak memiliki diri kita...
Kecuali Dia...
Dia mengasihi hambaNya...
Dia memiliki hambaNya...
Dan kepangkuan dia kita akan kembali...

Cerpen

MENCINTAI TIDAK SEMESTINYA MEMILIKI

Entahlah bila ketikanya cinta mereka bertunas di tangkai hati dan kasih bersemi di lubuk nurani, aku pun tidak sedar sehinggalah perhubungan mereka menjadi lebih serius. Qaireen sekuliah dengan aku dan Zhafran senior kami. Percintaan mereka menjadi yang paling terkenal di maktab kami pada pertengahan tahun 2003 itu.
Zhafran seorang pemuda yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang baik. Bicaranya sopan dan matang, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan boleh bertindak tegas. Qaireen, mesra dan ramah dan dalam kelembutannya ada pendirian yang kuat.
Benih kasih disemai, dibajai, disirami air dan dipancar kasih sayang tanpa sama sekali menjangka akan datangnya kemarau atau datangnya cubaan atau landanya dugaan. Sesungguhnya manusia itu akan diuji Tuhan.
Sebelum Zhafran keluar menjalani latihan mengajarnya, kata putus sudah dibuat. Dia akan pulang ke kampung pada cuti semester tersebut untuk memaklumkan kepada keluarganya yang dia sudah temui bakal isterinya. Dia ingin melamar Qaireen dan dia mahu meminta restu keluarganya. Malangnya, sesuatu yang tidak pernah terpintas di fikiran telah berlaku. Restu yang diharap-harapkan itu tidak diperolehnya.
Bagai cerita filem Melayu klasik atau filem hindustan yang stereotaip, keluarganya menolak. Jodohnya sudah ditetapkan. Keluarganya ingin dia berkahwin dengan seorang gadis pilihan ibu, dua pupunya sendiri. Mendengar berita itu, Zhafran tersentak terus terpaku, terdiam bagai disumpah menjadi batu. Kalau dalam filem Melayu, muzik latar akan bergema suspens, kalau dalam filem Hindustan, guruh berdentum dan kilat tiba-tiba memancar. Namun dalam realiti kehidupan gelodak dan debaran menghimbau di dalam dada bagai hendak patah tulang selangka.
Pujukannya diulang-ulang setiap kali dia bersua muka dengan ibu. Rayuannya tidak diterima. Pujukannya tidak berhasil. Ibu bukannya tidak suka, ibu bukannya tidak mengerti. Tetapi kata-kata sudah tidak dapat mencairkan kehendak dan keinginan ibu yang mampat. Ibu sudah tetapkan siapa menantunya dan dengan siapa dia hendak berbesan. Ibu mempunyai alasannya tersendiri, ibu mempunyai kewajaran yang berisi.

***************************************************************************

Dia seorang lelaki berdarah muda yang mampu memberontak dan membuat tindakan drastik tetapi dia juga dibekalkan iman dan fikiran yang matang dan waras. Kalau diikutkan hati, syaitan menjadi raja, nafsu menjadi gila. Tetapi dia mengikut akal, mengikut iman.
Dia perlu taat pada ibu. Tidak pernah seumur hidupnya menderhaka pada ibu bapanya. Tanpa restu ibu tiada maknanya. Dia tidak akan bahagia mendirikan rumah tangga berbekalkan kepiluan dan kekecewaan seorang ibu. Usahanya yang sabar dan panjang itu sudah berakhir. Tiada lain hanya terima keputusan ibu, akur pada takdir. Itulah kudrat dan itulah iradat-Nya.
Aku macam tidak percaya mendengarnya. Aku tahu Qaireen mempunyai keperibadian yang tinggi, rupa ada, berpelajaran, suruhan agama dijunjung dan latar belakang keluarga yang baik. Apa lagi yang mahu dari bakal menantu?
Entah mengapa pada hari itu, Zhafran mencariku. Hadir ke bilik asramaku dengan matanya merah. Air matanya tidak mengalir. Mungkin sudah kering. Aku lihat betapa merananya seorang lelaki yang tidak kesampaian hajatnya memperisterikan gadis yang diidamkannya.
“ Bagaimana nak aku beritahu dia, Man? Bagaimana nak aku lafazkan kata-kata yang pasti akan menghiris-hiris hatinya. Setelah sekian lama aku pupuk kasih, aku belai rasa sayang dalam hatinya, sekarang aku perlu siram racun yang akan menghancur luluh jiwanya. Bagaimana nak aku ucapkan, Man?” rintihannya menyayat hatiku.
“ Lafaz kau tidak akan dapat mengelak dari menghiris hatinya. Apa yang kau boleh buat hanya ucapkanlah kata-kata dengan penuh hikmah. Selang selikan dengan kalimah penenang hati, pengubat jiwa. Yakinkanlah dia, keputusan yang dibuat bukannya dari hati yang rela,” aku terasa macam kaunselor tidak bertauliah yang ingin menghulurkan penaawar.
“ Dari kamus mana dalam dunia ini nak aku gali kata-kata sedemikian, daripada pujangga mana nak aku kutip mutiara kata yang boleh mengubati hati yang sudah luluh?” Keluhannya membuat aku tertanya-tanya adakah orang yang derita cinta bisa menjadi penyair segera.
“ Dari ketulusan yang terbit dari lubuk jiwa kau, Zhaf. Dan kata-kata yang keluar bukannya dari mana-mana kamus, pujangga atau sasterawan tetapi daripada seorang kekasih yang tidak mampu menolak ketentuan Allah. Insya-Allah, dia akan mengerti bahawasanya kita ini hamba yang akur dengan dugaannya.” Aku memberi dia keyakinan. Dengan berbekal kata-kata itu dia pergi menemui Qaireen.

***************************************************************************
Air mata Qaireen berderai. Zhafran baru menoktahkan ayat yang menjelaskan apa yang telah dibicarakan oleh keluarganya di kampung. Impak pertama ayatnya ke atas Qaireen memerlukan masa untuk reda dan dia membiarkan Qaireen menangisinya.
“ Rancangan kita nak hidup bersama....itu yang ditetapkan di hati, janji itu yang kita materi,” kata Qaireen dalam sebak.
“ Perancangan hanyalah bicara dan harapan kita, Reen tapi ketentuan adalah kuasa tuhan. Janji tidak pernah dimungkiri cuma yang dimeterai terpaksa dilebur kembali. Ini bukan kehendak hati kita.
“ Reen sudah tidak nampak cahaya kebahagiaan,” dalam sedu Qaireen itu, zhafran dapat mendengar jelas kekecewaannya.
“ Janganlah diikut katanya lidah, jangan diikutkan hati yang remuk, jangan diikut fikiran yang tidak menentu. Ikutlah iman di dada, barulah nampak cahaya kebahagiaan.”
“ Siapa yang akan bahagia, Zhaf? Siapa yang akan bina hidup baharu dan siapa yang akan merana?” rintihannya berterusan.
Jangan biarkan dirimu ditenggelami perasaan sedemikian. Allah menduga kesabaran kita dan kalau kita kalah dengan dugaanNya maka kalahlah kita dalam perjuangan ini. Allah menguji ketaqwaan kita dan kalau kita gagal dengan ujianNya maka gagallah kita dalam kehidupan ini, Reen. Zhafran memperkuatkan benteng ketahanan dirinya demi untuk mengukuhkan benteng keimanan Qaireen.
Selepas itu, aku dapati setiap hari Qaireen berada dalam kemurungan bagai orang yang sedang berkabung satu kematian. Matinya pohon cinta yang mekar berbunga dengan begitu tiba-tiba. Telatah kawan-kawan dan senda gurauan teman sekuliah tidak dapat menghiburkannya lagi. Keadaannya membimbangkan hati kawan-kawannya. Begitu membimbangkan hatiku jua.
Zhafran juga jarang-jarang aku ketemu memandangkan dia masih berada di sekolah menjalani latihan mengajarnya. Dia datang juga hujung minggu menjenguk dan berbual dengan Qaireen. Qaireen tetap juga seperti itu. Berminggu-minggu keadaan berterusan sedemikian. Tetapi aku rasa kata-kata nasihat daripada Zhafran sedikit berkesan menyentuh hati luka Qaireen. Mungkin titis demi titis mengubatinya.
Tidak berapa lama selepas itu, aku lihat dari hari ke hari, perubahan berlaku pada diri Qaireen. Dia sudah mula hendak berbual dan tumpuannya pada kuliah semakin meningkat. Sudah tiada tangisan, sudah kurang kemurungan. Aku fikir dia akhirnya menerima kenyataan takdir, hakikat ketentuan dan realiti kehidupan. Namun jikalau direnung dalam matanya, kesayuan itu tetap wujud. Tetapi fikirannya telah mengatasi perasaannya. Kini dia mula melangkah dengan tabah.
“Alhamdulillah, Man. Reen mendapat kekuatan daripada orang-orang di sekeliling Reen. Reen tidak mahu berterusan dalam kehibaan,” dia menjawab pertanyaan khabar aku pada satu hari dan aku tidak akan benar-benar tahu apa yang berada di dalam hatinya. Aku sekadar turut gembira dengan perubahannya itu.
Tumpuan Qaireen terlalu banyak kepada aku sejak kebelakangan itu. Tidak ada hari yang berlalu tanpa dia berbual dengan aku, atau menyatakan masalahnya bagai orang yang ingin memanjakan diri tetapi aku kurang pasti apa perasaan yang melanda dirinya.
Aku tidak menafikan kadangkala hati aku juga dibuai indah dengan perhatiannya, dengan kata-katanya, dengan senyumannya. Manakan tidak, bila seorang gadis seperti Qaireen memberi tumpuan, memesrakan kata, mengadu duka dan meluahkan rasa. Terasa amat erat sekali interaksi kami berdua. Tetapi aku sedar dia hanya memerlukan seseorang untuk menghilangkan lara dan mengubat luka.
Di antara kawan-kawan yang ada, aku yang paling rapat dengan Zhafran, mungkin sebab itu aku dipilihnya untuk mendapatkan kekuatan diri. Kami tetap sahabat dan tidak melangkah melebihi itu.
“ Man pergi tidak ke majlis kenduru kahwin Zhafran nanti?” tanya Qaireen kepada aku setelah Zhafran selesai mengedar kad jemputan ke majlis perkahwinannya kepada kawan-kawannya di maktab sehari sebelum itu.
“ InsyaAllah, kalau tidak ada aral aku akan ke sana,” aku menjawab dan menantikan sesuatu permintaan daripadanya. Tetapi dia sekadar memandang wajah aku dengan kesayuan seketika, mengangguk dan beredar pergi. Apa yang hendak disuarakan tidak keluar dari mulutnya.
Cuti hujung tahun. Aku melangkah turun dari bas. Itulah pertama kali aku datang ke kampungnya. Dari situ aku sudah dapat lihat dua buah khemah lebih kurang seratus meter di dalam kampung itu. Namun keriuhan sebuah majlis kenduri kahwin belum lagi ketara. Sengaja aku datang agak awal mengharapkan sedikit masa dan peluang untuk berbual dengan Zhafran.

**************************************************************************
“ Kau datang seorang sahaja?” pantas pertanyaan ketika aku berjabat erat dengannya. Dia kelihatan begitu segak berbaju Melayu cekak musang, bersamping dan bertengkolok. Semuanya berwarna kuning keemasan. Keris tersisip di pinggang. Cuma wajahnya tidak terserlah keriangan walaupun hari itu dia bergelar raja sehari.
“ Ya, aku seorang sahaja, mungkin kawan-kawan yang lain akan hadir kemudian,” aku tahu matanya mencari qaireen.
“ Dia tidak datang,” aku berkata seolah dapat membaca soalan dalam fikirannya. “ Aku kira itu sesuatu yang boleh kau jangkakan. Tak masuk akal kalau dia hadir dai hari perkahwinan kau.”
“ entahlah, aku begitu mengharapkan dia datang,” jawabnya dengan sedikit nada kecewa. Kami beredar ke satu penjuru khemah dengan harapan tiada gangguan buat beberapa minit untuk kami melengkapkan perbualan.
“ Kau mengharapkan dia datang? Untuk apa, Zhaf? Supaya dia dapat merenjiskan air matanya di atas pelamin kau dan menepung tawar kau dengan serpihan hatinya?” kata-kataku memuramkan lagi wajahnya. Bukan tujuan aku untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi di hari itu.
“ Tidak, datang untuk merestui perkahwinan ini.”
“ Ibu bapa yang merestui pernikahan, bukannya kekasih lama,” aku menjawab dengan senyuman.
“ Dia bukan kekasih lama, dia kekasih abadi.”
“ Kalau dia hadir, hatinya akan terus terhiris, perasaannya akanremuk-redam lagi melihat kau berpakaian begini. Dan bagaimana pula dengan ister kau, kau nak juga persaannya hancur berkecai? Sudahlah Zhaf, lupakan yang lama apabila lembaran baru sudah terhampar di hadapan kau. Abadikan kasih kau kepada isteri kau,” aku berkata.
“ Tidak semudah itu, Man. Bagaimana kau nak cabut kasih yang berakar tunjang di hati? Aku tak tahu berapa lama masa yang aku akan ambil untuk menghilangkan segalanya,” katanya lagi.
“ Ia tidak akan hilang selagi kau membiarkannya segar di hati kau,” jawab aku sambil melontar pandangan ke arah rumahnya dan kelihatan pengantin perempuan yang berpakaian sedondon dengannya serta bertudung. Dia kelihatan begitu jelita dan berseri-seri. Manis senyumannya.

***************************************************************************

“ Isteri kau tu....”
“ Mengapa, Man?”
“ Maafkan renungan terpesona aku.....bertuahnya kau, Zhaf. Akar yang lama di hati boleh terungkai dengan tunas kasih seperti dia....”
“ Tidak akan terungkai semudah itu...”
“ Kau lelaki yang tidak bersyukur. Dia lebih cantik dari Qaireen, Zhaf.”
“ Aku tak sangka kau menilai luaran daripada hati budi seseorang.”
Aku tidak pernah buat begitu. Tetapi adakah kau sudah menilai hati budinya sedangkan kau belum membuka hati dan perasaan kau kepadanya? Cinta yang sebenar adalah cinta selepas akad nikah. Kasih yang tulen adalah tautan hati suami isteri.”
“ Kau mentafsir harapan daripada kebenaran,” katanya.
“ Dan kau menilai impian daripada kenyataan. Sekarang kau harus terima hakikat ini. Cukuplah satu hati yang telah menderita tetapi jikalau kau biarkan sekeping hati lagi merana, kejam kau Zhaf. Patutkah isteri kau menjadi mangsa kepada keadaan ini? Patutkah kau mempersia-siakan dia begitu sahaja?”.
“ Aku faham apa yang kau cuba nak yakinkan kepada aku, Man.”
“ Jadi binalah hidup baru dari ketulusan perasaan bukannya daripada kekecewaan dan kelukaan yang lalu supaya ikatan ini akan kukuh dan abadi,” aku tidak tahu sejauh mana nasihat aku menjentik hatinya kerana dia sekadar diam.
“ Aku datang jauh ni, Zhaf. Dahaga aku, tak kau hulurkan segelas air sirap pun. Lapar aku, tak kau hidangkan sepinggan nasi minyak pun,” gurau aku apabila apa yang hendak sampaikan sudah aku ucap kepadanya.
“ Maafkan aku....,” dia bingkas bangun untuk mendapatkan hidangan untuk aku. Segala yang ingin kami bualkan berakhir di situ apabila semakin ramai orang tiba dan Zhafran menjadi semakin sibuk dengan adab, adat dan istiadat seorang raja sehari. Sebelum aku balik, dia sempat merapati aku seketika.
“ Man, kirimkan salam aku kepada Qaireen,” katanya.
“ InsyaAllah, sudah pasti dia akan bertanyakan tentang diri kau.”
“ Dan apa yang akan kau beritahu dia?”
“ Apa sebenarnya yang kau nak aku katakan?” aku bertanya balas.
“ Katakan hanya jasad aku berada di atas pelamin di sini tetapi jiwa aku tetap berada di pelamin hatinya.”
“ Tidak, Zhaf. Aku akan kata, kau sedang membina pelamin kasih di hati seorang perempuan yang bergelar isteri. Aku akan kata kau telah menerima ketentuan Illah, kerana kau sedar rezeki, jodoh dan pertemuan adalah di tanganNya.”. Aku kembali ke maktab untuk semester akhir. Dan Qaireen....dia sudah menerima hakikatnya tetapi itu daripada pandangan mata kasar, hatinya Allah sahaja yang tahu....ketika memandang Qaireen melangkah keluar di hari terakhir kami di maktab itu, terasa hati ini puas dan bersyukur kerana telah dapat mengalirkan sedikit penawar sebagai sumbangan kecilku buat dua insan yang memerlukan kehadiran seorang sahabat

Ayat-Ayat Cinta